Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri wajar dipecat kerana mengeluarkan kenyataan yang merosakkan kredibiliti Malaysia.
Menurut Penasihat DAP Lim Kit Siang, imej Malaysia sudah pun sedia terjejas dengan kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370.
"Sepanjang dua minggu lalu, Malaysia dikritik hebat daripada seluruh pelusuk dunia," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
"Jadi kita tidak perlukan timbalan menteri yang bercakap perkara mengarut di Parlimen," katanya merujuk kepada komen Abdul Rahim.
Abdul Rahim pada Rabu memberitahu Parlimen bahawa penerbangan MH370 berpatah balik kerana menerima arahan daripada pusat kawalan trafik udara di Subang.
Semalam Abdul Rahim menarik balik kenyataan beliau di Parlimen pada Rabu bahawa pesawat Malaysia Airlines MH370 berpatah balik kerana kemungkinan mendapat arahan daripada pusat kawalan dengan menyatakan ia hanyalah andaian beliau.
Semasa perbahasan titah Diraja di Parlimen pada Rabu, Abdul Rahim menjelaskan kenyataannya hanyalah andaian berdasarkan kemungkinan yang berlaku apabila persoalan mengapa tiada tindakan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila mendapati pesawat tersebut berpatah balik.
"Jawapan saya pada sesi Parlimen semalam menyatakan pesawat MH370 berpatah balik berkemungkinan setelah menerima arahan daripada pusat kawalan hanyalah andaian," katanya dalam satu kenyataan petang semalam.
Abdul Rahim juga mengakui selepas semakan dibuat, pihaknya mendapati andaian tersebut adalah salah sama sekali.
Abdul Rahim pada Rabu turut berkata Kementerian Pertahanan tidak mengambil tindakan apabila melihat pesawat tidak dikenali di radar tentera berpatah balik kerana menyangka mendapat arahan daripada pusat kawalan.
"Ia memang dikesan di radar kami, tetapi pusingan-U itu dibuat oleh pesawat yang tidak merbahaya dan kami fikir boleh jadi ia adalah arahan menara kawalan.
“Pesawat yang tidak merbahaya memang melalui melalui ruang udara negara pada 8 Mac," katanya.
Malaysia dikritik teruk selepas mendedahkan radar tentera mengesan satu pesawat yang tidak dikenali – sekarang disahkan sebagai pesawat MH370 – tetapi tidak mengambil sebarang tindakan ~ The Malaysian Insider
Baca apa komen sebilangan rakyat Malaysia di SINI