Walaupun Putrajaya membelanjakan jutaan ringgit untuk memberi penerangan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), satu kajian oleh universiti swasta mendapati kebanyakan rakyat Malaysia menentang cukai itu yang akan berkuatkuasa 1 April depan.
Kajian yang dilakukan oleh UCSI ke atas 700 responden menunjukkan mereka tidak menerima cukai tersebut, selain berasa kerajaan tidak dapat melaksanakan sistem percukaian itu dengan berkesan.
Dalam membentangkan hasil kajian berkenaan, ketua eksekutif pusat kajian UCSI Dr Ngerg Miang Hong berkata terdapat responden yang masih tidak memahami bagaimana GST dilaksanakan.
Hasil kajian itu selari dengan satu keputusan kajian yang dijalankan pada April, dan ia dapat melemahkan harapan Putrajaya bagi menambah keyakinan rakyat berhubung kebaikan cukai berkenaan.
Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan 80% responden tidak yakin kerajaan dapat melaksanakan GST secara berkesan.
Sejumlah majoriti yang besar juga mendapati GST mungkin efektif di negara lain, namun di Malaysia hanya akan merosakkan reputasi kerajaan.
Sejumlah 41.7% sangat bersetuju dakwaan GST lebih efektif di negara lain dan tidak di Malaysia. Manakala 37.5 % sekadar bersetuju dengan kenyataan itu.
Sebahagian 66% responden berpendapat cukai baru berkenaan tidak akan membangunkan ekonomi sementara lebih 83% daripada mereka percaya ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. 59% responden pula berpendapat mereka tidak dapat menerima GST.
Manakala 49% daripada mereka mahu cukai sedia ada diteruskan berbanding 32% yang mahu GST diperkenalkan.
Bagi menggambarkan bagaimana orang ramai masih tidak melihat kesan terhadap GST, Ngerng berkata kira-kira 45.9% berkata mereka tidak yakin bagaimana cukai tersebut memberi kesan kepada kos sara hidup manakala 47% berpandangan sebaliknya.
Katanya, kaedah kajian dijalankan dengan meminta pandangan di Internet dan secara bersemuka di kawasan bandar dan luar bandar yang berusia 20 hingga 45 tahun.
Beliau berkata responden tidak dipecahkan mengikut kumpulan etnik tetapi mendakwa ia terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Ngerng mengumumkan keputusan itu dalam satu forum “GST: Baik atau Buruk” di UCSI Kuala Lumpur malam tadi.
Sebelum ini, Putrajaya mengumumkan peruntukan RM250 juta bagi memberi penerangan kepada rakyat tentang GST dan melatih peniaga membiasakan cukai bari itu.
Panelis daripada Pemuda Barisan Nasional Neil Foo Seck Chyn berkata, penguatkuasaan merupakan kaedah memastikan GST tidak mendorong kepada kenaikan harga barang tahun depan.
Beliau berkat,a menurut Kementerian Kewangan, hanya 10% daripada 689 barang keperluan dijangka akan mencatatkan kenaikan apabila GST dilaksanakan.
"Kebanyakan produk yang dinikmati sekarang seperti teh tarik sudah dikenakan cukai 10% yang tidak kita sedari," katanya.
"Tetapi apabila kita mengurangkannya dari 10% kepada 6%, harga pasti turun. Tetapi terpulanglah pada kerajaan untuk menguatkuasakannya."
Seorang lagi panelis daripada Pakatan Rakyat, Dr Ong Kian Ming pula melihat sebaliknya kerana peniaga tidak diberikan insentif mengurangkan harga barang.
Katanya, kerajaan juga kurang memberikan jaminan bahawa akan bersikap lebih telus hasil pendapatan yang dijanakan daripada cukai baru itu.
"Jika mereka mendapat lebih banyak pendapatan tanpa akauntabiliti, hanya lebih pembaziran yang akan berlaku," katanya.
Kerajaan menjangkakan bagi tahun pertama pelaksanaan GST, sejumlah RM3 bilion pendapatan tambahan akan dapat dijana.
~The Malaysian Insider