Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cedera teruk di muka dan kepala selepas digigit seekor biawak besar di kuarters pekerja Berjaya Resort Tioman, Pulau Tioman, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya, berkata, kejadian tersebut hanya disedari ibunya apabila terdengar tangisan kuat bayi tersebut secara tiba-tiba.
"Bayi seberat kira-kira 9kg itu diletakkan di atas lantai dapur dan pada masa itu ibunya meninggalkan bayinya sekejap untuk mengambil sesuatu sebelum terdengar bunyi bising diikuti tangisan kuat anaknya tidak seperti biasa.
"Ibu bayi malang itu bergegas mendapatkan anaknya dan hampir pitam apabila melihat seekor biawak besar sedang mengigit serta mencengkam kepala bayi perempuannya dengan kuku. Biawak itu juga cuba menarik bayinya keluar dari kawasan dapur untuk dibawa lari ke dalam semak berhampiran," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Johari berkata, ibu bayi itu berjaya menyelamatkannya sebelum meminta bantuan orang awam membawa bayinya ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek, Pulau Tioman untuk menerima rawatan.
Katanya, bapa bayi itu juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tioman kira-kira jam 4.51 petang semalam.
"Bayi itu telah dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut bagaimanapun keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya.
Sementara itu, jurucakap Hospital Mersing yang dihubungi mengesahkan bayi malang tersebut telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut lapor Sinar Harian.
Bernama pula melaporkan biawak tu lapar katanya..
KUANTAN - Biawak yang menyerang bayi berusia lapan bulan dalam kejadian di kuarters pekerja di Berjaya Resort, Pulau Tioman pagi semalam berkemunginan dalam keadaan lapar.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata biawak daripada spesies biawak air itu amat jarang menyerang manusia kecuali merasa terancam atau lapar.
"Haiwan liar itu mungkin terlalu lapar dan menganggap bayi berkenaan sebagai makanannya sehingga menyerang dan menggigit muka mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khairiah berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian serangan biawak terhadap Nurhidayah Abdul Rahman yang mengakibatkan luka sepanjang enam sentimeter di bahagian muka bayi malang tersebut.
Beliau tidak menolak kemungkinan ia juga berpunca daripada faktor pengabaian soal kebersihan di kawasan sekitar sehingga menjadi tarikan kepada haiwan liar itu memasuki rumah untuk mencari makanan.
Sehubungan itu, Khairiah menyeru pihak pengurusan resort berkenaan supaya mempertingkat aspek kebersihan.
Antaranya termasuk memastikan pembuangan sisa makanan dilakukan secara lebih teratur untuk mengelak kawasan itu menjadi tarikan kepada haiwan berkenaan.
Dalam masa sama, katanya Perhilitan juga telah menghantar anggotanya ke kawasan kejadian bagi menyiasat punca sebenar haiwan itu menyerang manusia. - Bernama