Menteri Pelajaran mana?.. kenapa tak dengar sebarang komen pun dari dia tentang rungutan tentang PT3 dari Ibu bapa Pelajar ni?.. Dah pekak ke?
Tapi.. rasa macam ada yang tak kena pulak bila Muhyiddin menerajui Kementerian Pelajaran kali ni..
Biasanya Menteri-menteri Pelajaran yang lepas-lepas mereka atau penasihat mereka akan mengunakan pelbagai kaedah untuk menunjukkan kepada rakyat akan peningkatan prestasi Kementerian itu bila diterajui mereka..
Biarpun dengan mengurangkan jumlah markah untuk lulus asalkan memperlihatkan peningkatan pencapaian 'A' dalam peperiksaan itu sudah bagus.
Tapi.. bila Muhyiddin menerajui Kementerian Pelajaran jadi macam ni pulak..
Hmmm... ada apa-apa ke ni?
Keputusan Pentaksiran Tingkatan tiga (PT3) yang diumumkan semalam ternyata mengejutkan pelbagai pihak, mana tidaknya PT3 yang mengambilalih ‘peranan’ Peperiksaan Menegah Rendah (PMR) telah melihatkan penurunan calon yang mendapat semua A.
Antaranya Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut mempersoalkan PT3 ini.
Menurutnya reaksi yang beliau dapat terutama daripada ibu bapa calon ternyata mereka kecewa dengan PT3.
“Jam 9 pagi, saya keluar pejabat untuk ke SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi melihat reaksi anak murid dan ibu bapa menerima keputusan peperiksaan PT3. Saya ke sekolah ini kerana inilah sekolah terbaik di daerah ini yang setiap tahun ratusan pelajarnya mendapat 8A ke atas.
“Namun, tahun ini hanya 8 orang pelajar sahaja dari sekolah ini yang mendapat semua A. Pencapaian sekolah ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan pencapaian dari sekolah berasrama penuh yang lain. Maklumat awal yang saya perolehi menunjukkan hanya 11 orang dari Tunku Kursiah yang mendapat semua A, 10 dari Faris Petra, seorang dari SDAR, seorang dari Sakti, 21 orang dari Mozac dan 26 orang dari Tun Fatimah.
“Saya bertanyakan ibu bapa dan para guru tentang tentang pelaksanaan PT3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PT3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebooknya.
Jelas Agus lagi, luahan hati ibu bapa calon juga mengatakan bahawa PT3 dilaksanakan secara tergesa-gesa sehinggakan anak-anak mereka tidak sempat untuk ‘bersiap siaga’.
“Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad hoc (sementara), diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi.
“Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak guru dari sekolah atau negeri lain. Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya,” katanya.
Menurut Agus lagi, oleh itu pandangan ibu bapa dan guru perlu tentang PT3 perlu diambil kira sekiranya sayangkan pendidikan negara.
“Betul, soalan PT3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PT3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara?
“Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak fikir ia dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara kita. Jadi, apa tindakan seterusnya? Buatlah survei secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa, dan ambillah cadangan dan pandangan mereka. Itulah yang terbaiknya,” katanya.
Baca juga apa yang Sinar Harian laporkan ini..
GEORGETOWN - Keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di beberapa sekolah di Pulau Pinang mencatatkan keputusan yang sangat tidak memuaskan.
Tinjauan mendapati beberapa sekolah bertaraf kluster dan berprestasi tinggi hanya mencatat kurang daripada 10 calon yang menduduki PT3 mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil.
Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, SMK Agama Al-Irshad, Pokok Sena SMK (P) St. George's dan SMK Agama Al-Mashoor (L).
Pengetua SMK Bukit Jambul, Noorzeela Abu Bakar berkata, hanya enam daripada 183 calon PT3 dari sekolahnya mendapat keputusan semua A manakala peratus kelulusan tidak jauh berbeza dari Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.
Beliau berkata, walaupun peratus kelulusan tidak jauh berbeza namun kualiti pencapaian pelajar agak rendah jika dibandingkan dengan pencapaian yang pernah diperolehi sebelum ini.
"Kita berpuas hati dengan pencapaian pelajar kerana PT3 baru diperkenalkan tahun ini bagi menggantikan PMR.
"Bagaimanapun sukar untuk kita membandingkan pencapaian PT3 dengan PMR kerana formatnya jauh berbeza," katanya ketika ditemui media di sini semalam.
Menurutnya, PT3 menguji pelajar dengan soalan berasaskan kemahiran berfikir asas tinggi tanpa soalan berbentuk objektif seperti PMR.
Di SMK (P) St. George's, hanya tujuh daripada 206 calon PT3 berjaya mendapat keputusan semua A.
Penolong Kanan Pentadbirannya, Ivy Ho Siew Yoong berkata, keputusan itu tidak boleh dibandingkan dengan pencapaian PMR tahun lalu kerana format PT3 adalah berbeza sama sekali.
Pengetua SMK Agama Al-Mashoor (L), Abdul Razak Osman pula melahirkan rasa kecewa apabila hanya dua daripada 121 calon PT3 sekolah berkenaan berjaya mendapat keputusan semua A.
Beliau berkata, keputusan itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan PMR tahun lalu.
"Keputusan bagi mata pelajaran sains dan matematik yang agak tidak memuaskan berbanding mata pelajaran lain.
"Kita akan menilai pencapai PT3 ini dengan memberi fokus kepada punca pelajar gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam penilaian ini agar program penambahbaikan boleh dirangka segera," katanya.
SMK Agama Al-Irshad pula mencatatkan tiga daripada 168 calon PT3 mendapat keputusan semua A manakala 10 pelajar lain mendapat 10 A bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Usaha Sinar Harian mendapatkan reaksi dan statistik penuh keputusan keseluruhan PT3 di negeri ini daripada Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Osman Hussain tidak berjaya apabila talian yang dihubungi tidak berjawab dan difahamkan sedang bercuti.
Nak jadi PM macam mana ni Muhyiddin?.. pegang Kementerian Pelajaran pun dah haru biru ni..