Pakatan Rakyat (PR) hilang seorang lagi tokoh yang boleh menyatukan mereka selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafasnya yang terakhir pada umur 84 tahun malam ini.
Nik Aziz merupakan tokong penting yang menjadi penyatu antara PAS dengan PKR dan DAP selain Anwar.
Beliau menolak sebarang usaha untuk memecahkan PR apabila dikatakan ada usaha untuk merapatkan PAS dengan Umno oleh segelintir pemimpin PAS.
Anwar sentiasa akan ke Kota Baru untuk bertemu Nik Aziz ketika mahu membuat sebarang keputusan penting.
Mac tahun lalu Anwar bertemu Nik Aziz dan bersolat subuh bersamanya ketika mahu menghadapi perbicaraan di Mahkamah Persekutuan dan berkesudahan denga dijatuhkan hukuman lima tahun penjara Selasa lepas.
Pemergian Nik Aziz sama tarikh dengan tokoh besar Ikhwanul Muslimin Mesir Hassan Al Banna 66 tahun lalu yang turut meninggal pada 12 Februari 1949.
Jenazah Nik Aziz akan disolatkan jam 10 pagi esok di Masjid Pulau Melaka yang terletak bersebelahan dengan rumahnya di Kota Baru, Kelantan.
Ketika artikel ini ditulis, para pemimpin PAS dan penyokongnya berduyun-duyun ke Pulau Melaka bagi memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin kerohanian yang terbilang ini.
Kesihatan Nik Aziz dikatakan jatuh mendadak selepas diberitahu Anwar dijatuhkan hukuman penjara Selasa lepas.
Nik Aziz dibawa pulang ke rumahnya petang tadi dari Hospital Universiti Sains Malaysia selepas dibuang alat bantuan pernafasannya petang tadi.
Beliau menghembuskan nafas terakhir selepas kira-kira sejam sampai ke rumahnya.
"Rakyat Malaysia kehilangan seorang pemimpin dan 'guidance' kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam satu kenyataan segeranya selepas kematian Nik Aziz.
Bagi Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu, Nik Aziz merupakan pemimpin yang mencipta fenomena baru dengan teladan sebagai pemimpin kerajaan, bukan untuk mencari kekayaan peribadi, pangkat mahupun nama tetapi menjadi “guidance” untuk rakyat Kelantan dan semua rakyat Malaysia secara amnya ~ The Malaysian Insider
Biodata Tok Guru Nik Aziz silalah lihat di SINI