Hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh (P.44) ditetapkan pada 7 Mei ini sementara hari penamaan calon pula pada 25 April ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Abdul Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya pada Rabu.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen pada 16 Mac selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarganya pada 24 Februari.
Anwar, yang juga ketua pembangkang, kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.