Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. tidak bercakap benar dan mengelak dari menyentuh masalah kekangan kerajaan terhadap kartunis dalam ucapannya dalam majlis Anugerah Kampung Boy 2015 untuk kartunis di Putrajaya malam tadi.
Najib dipetik media sebagai berkata, bahawa kerajaan membenarkan kartunis menyentuh isu politik.
Ini adalah pembohongan nyata kerana di bawah pemerintahan beliau, karya-karya kartun politik diharamkan dan kartunis politik ditangkap, seperti dalam kes saya sendiri.
Dalam ucapan itu juga, Najib menasihati kartunis supaya tidak cuba mengikut gaya lukisan oleh kartunis Charlie Hebdo yang tidak sensitif dalam isu agama.
PM tak perlu merawang jauh tentang Charlie Hebdo kerana kartunis-kartunis di Malaysia menghormati sensitiviti agama dan kaum kerana itu ia bukan isu di negara ini.
Isu besar yang kartunis hadapi ialah sempitnya ruang berekspesi kerana kekangan undang seperti Akta Hasutan dan juga Akta Mesin Cetak & Penerbitan.
Akta-akta ini adalah senjata kerajaan yang menyebabkan kartunis-kartunis tidak berani mengkritik perlakuan rasuah seperti skandal 1MDB dan isu berbilion ringgit dalam akaun peribadi Najib sendiri.
Ini menyebabkan kartunis-kaertunis gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pengritik kerajaan. (goverment of the day).
Kartun lucu, tetapi tindakan kerajaan menyekat kartunis lebih lucu.
Akta-akta ini juga menyebabkan akhbar-akhbar arus perdana tidak berani menyediakan ruang untuk kartunis-kartunis yang bersikap kritikal dalam akhbar mereka dan ini membunuh aspirasi kartunis-kartunis baru.
Ia jauh berbeza dengan amalam kerajaan Asean lain seperti Indonesia dan Filipina, malah Myanmar sejak akhir-akhir ini.
Saya mengalu2kankan pengumuman Najib bahawa kerajaan akan memperuntukan sebuah 'rumah' bagi kartunis mempamerkan karya mereka selain dijadikan tempat berkumpul. Namun, kaedah "BR1M-styled" dan bukanlah penyelesaian kepada masalah yang melanda industri kartun di Malaysia.
Selain dari penapisan dari kerajaan, industri kartun tanahair menghadapi masalah kebanjiran penerbitan kartun-kartun dari luar terutama dari Hong Kong dan Jepun yang menyebabkan beberapa majalah kartun tempatan terpaksa gulung tikar dan juga semakin tidak laku.
Saya difahamkan ratusan permit dilulus oleh KDN bagi majalah kartun dari Hong Kong dan Jepun setiap tahun. Kerajaan mengambil langkah tegas mengawal kemasukkan majalah-majalah seperti ini bagi menlindungi industri dan juga kartunis tempatan.
Cukuplah Najib untuk menasihati kartunis. Saya ingin menasihati Najib supaya segera menghapuskan akta Akta Mesin Cetak & Penerbitan serta Akta Hasutan. Wujudkan ruang berekpresi yang luas kepada kartunis.
Zunar Kartunis Politik
13 Oktober 2014